Permohonan Bantuan Peranti Tablet Bermula Ogos Ini

 

Permohonan Bantuan Peranti Tablet Bermula Ogos Ini

Permohonan di bawah Program PerantiSiswa fasa 2 dibuka bermula 1 Ogos, bagi pelajar B40 yang akan memasuki institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.

PERANTISISWA KELUARGA MALAYSIA

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40.

Inisiatif ini membuktikan keprihatinan Kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya bagi golongan B40 bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok Keluarga Malaysia.

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

TEMPOH PERMOHONAN FASA 2 PERANTI SISWA

Permohonan akan dibuka secara online sahaja bermula 1 Ogos 2022 sehingga 30 September 2022. Permohonan hanya akan dibuka selama 60 hari sahaja.

SYARAT PERMOHONAN

1. Pemberian satu (1) unit peranti untuk pemohon yang memenuhi syarat umum kelayakan PerantiSiswa seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Daripada kategori keluarga B40 iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah;
  3. Sedang mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi, Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau Kementerian Pendidikan Malaysia;
  4. Bukan pelajar tahun akhir pada tahun 2022;
  5. Mengikuti pengajian secara sepenuh masa; dan
  6. Tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan.

KAEDAH PEMBERIAN

  1.  Inisiatif ini hanya melibatkan pemberian peranti tanpa pelan data Internet.
  2. Peranti yang diberikan ini berdasarkan Kaedah Guna Pakai (KGP). Mahasiswa perlu menyerahkan semula peranti mengikut kaedah yang ditentukan setelah tamat pengajian atau dalam tempoh yang ditetapkan oleh Pentadbir Program.
  3. Peranti wajib dipulangkan sekiranya mahasiswa tersebut
    1. menamatkan pengajian;
    2. berhenti pengajian;
    3. dibuang pengajian;
    4. menyalahgunakan peranti sehingga mendatangkan kemudaratan dan menyalahi undang-undang negara; atau
    5. melanggari syarat yang ditentukan oleh Pentadbir Program dari semasa ke semasa
  4. Penerima peranti perlu melaporkan sebarang kerosakan, kehilangan atau kecurian tablet tersebut melalui kaedah pelaporan yang akan ditentukan kelak untuk tindakan lanjut oleh Pentadbir Program.
  5. Pentadbir Program atau pihak yang diberi kuasa oleh Pentadbir Program berhak untuk mengarahkan penerima peranti untuk menyerahkan semula tablet tersebut untuk diperiksa pada bila-bila masa.
  6. Penerima peranti adalah bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan peranti yang diterima.
  7. Penerima peranti juga perlu memastikan peranti yang diterima tidak diconteng, ditulis atau mengalami sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan kepada peranti tersebut.
  8.  Penerima peranti perlulah mematuhi peraturan/polisi keselamatan siber IPT atau agensi-agensi kerajaan yang berkuatkuasa.
  9.  Peranti hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk pembelajaran kendiri dan tidak digunakan untuk mengakses laman sesawang yang menyalahi undang-undang negara.
  10. Penerima peranti yang melanggar apa-apa syarat atau menyebabkan sesuatu kehilangan atau kerosakan ke atas peranti disebabkan kecuaian boleh dikenakan penalti yang akan ditetapkan oleh Pentadbir Program.
  11.  Penerima peranti adalah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

JENIS PERANTI YANG AKAN DIBERI

  • Peranti yang dibekalkan adalah sebuah tablet dengan spesifikasi minimum seperti berikut:
    1. Skrin 10.1” Paparan FHD, 1280×800
    2. Android OS 10 dan ke atas
    3. 4G LTE (menyokong frekuensi LTE telco di Malaysia)
    4. Minimum RAM 4GB
    5. Minimum storan 64GB
    6. Slot SD Micro sehingga 256GB
    7. Kamera hadapan minimum 2MP
    8. Kamera belakang minimum 5MP
    9. Pembesar suara terbina dalam dan bicu audio 3.5mm untuk headset
    10. Bluetooth 4.1 dan ke atas
    11. WiFi 2.4GHz & 5Ghz
    12. Bateri minimum 4500 mAh
    13. Pengecas USB disertakan
    14. Papan kekunci bluetooth disertakan
    15. Pen stylus disertakan.

  • SOALAN LAZIM
  • 1. Apakah itu inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia?

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40 bagi memastikan proses pengajian para mahasiswa terus terpelihara.

2. Siapakah yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia?

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah di bawah Belanjawan 2022 yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

3. Siapakah Pentadbir Program PerantiSiswa?

Pentadbir Program PerantiSiswa ialah Unit Pengurusan Peranti Siswa, Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

4. Bilakah PerantiSiswa mula diberikan kepada mahasiswa?

PerantiSiswa dijangka mula diagihkan kepada mahasiswa pada Ogos atau September 2022 bagi permohonan Fasa 1. Pemakluman terkini berkenaan pengagihan peranti akan dimaklumkan oleh pihak K-KOMM dari semasa ke semasa.

5. Adakah setiap mahasiswa daripada keluarga B40 akan menerima PerantiSiswa?

Inisiatif ini akan melibatkan mahasiswa warganegara Malaysia dalam kelompok keluarga B40 iaitu keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 dan menuntut di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Inisiatif ini juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

6. Saya merupakan mahasiswa tahun akhir pada tahun 2022. Adakah saya layak memohon?

Mahasiswa tahun akhir pada tahun 2022 adalah tidak layak memohon.

7. Adakah mahasiswa yang mengikuti pengajian secara separuh masa layak memohon PerantiSiswa?

 Tidak. Pemohon mestilah mahasiswa yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa.

8. Saya tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan dan saya tidak mempunyai sebarang peranti atau komputer riba untuk menyokong proses pembelajaran saya. Adakah saya layak memohon PerantiSiswa?

Ya. Layak memohon kerana memenuhi syarat-syarat kelayakan umum permohonan PerantiSiswa.

9. Saya merupakan mahasiswa yang bukan dari kelompok keluarga B40 tetapi saya memerlukan peranti untuk membantu proses pengajian saya kerana saya terkesan akibat bencana alam seperti banjir atau kebakaran. Adakah saya boleh memohon PerantiSiswa?

Mahasiswa yang bukan dari kelompok keluarga B40 yang terkesan akibat banjir, kebakaran atau apa-apa sebab lain yang munasabah, boleh memohon dengan menyatakan justifikasi permohonan semasa memohon.

10. Saya mempunyai adik-beradik lain yang memenuhi syarat-syarat umum permohonan PerantiSiswa. Adakah lebih dari satu (1) permohonan dari keluarga B40 yang sama layak memohon PerantiSiswa?

Ya. Permohonan adalah berdasarkan permohonan individu bagi setiap mahasiswa yang layak.

11. Adakah pelajar asasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) layak untuk memohon bantuan Perantisiswa?

Buat masa ini permohonan adalah terbuka kepada mahasiswa di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pelajar-pelajar IPG dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

12. Adakah peranti yang diterima perlu dikembalikan?

Peranti akan diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) kepada mahasiswa dan perlu diserahkan semula setelah tamat pengajian atau dalam tempoh yang ditentukan oleh Pentadbir Program.

Sumber dan Maklumat Penuh 

Leave a Comment