Bantuan

Kerajaan Perlu Mempertimbangkan Pengeluaran KWSP Secara Bersasar – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.

“Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

“Bank-bank juga patut turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR,” katanya semasa Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, walaupun usia kerajaan sudah menjangkau tiga bulan, namun beliau masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kita dengar menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur. Ini bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan.

“Rakyat harapkan tindakan-tindakan kerajaan sama ada daripada segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah,” jelasnya.

Ujar Muhyiddin, Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu inisiatif yang baik, namun beliau mempersoalkan adakah inisiatif itu dapat bertahan sekiranya kos bahan mentah terus meningkat.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan dapat mengumumkan langkah-langkah yang lebih konkrit dan menyeluruh untuk mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dan membantu golongan rentan.

Sumber : Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button