SEPANG: Lebih 400 jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam Khamis.
Pemerhatian Astro AWANI di KLIA mendapati rata-rata jemaah haji dilihat keletihan menunggu penerbangan dan visa perlepasan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Menurut salah seorang jemaah haji dari Kelantan, Marina Abu Zahar, 52, kesemua mereka berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.
“Kami menunggu daripada jam 12.00 tengah hari selepas taklimat terakhir pada malam tadi mengatakan kita akan terbang pada 4.25 petang (Khamis).
“Kita berkumpul dari jam 12.00 tengah hari, dia delayed (tunda) kepada jam 7.00 malam. Sebab keadaan agak tegang, jadi kita cuba bertanya, tapi jawapannya sabar dan sabar.
“Memang kita boleh sabar lagi, kami duduk dalam empat hingga lima hari di sekitar KLIA ini, kejap hotel sana kejap hotel sini, duit pun dah banyak habis,” jelasnya ketika ditemui.
Marina menambah, beliau sebak dengan keadaan menimpanya dan jemaah yang lain.
“Ini pertama kali untuk mengerjakan haji, saya teruja, tapi bila benda itu dah terjadi kami reda… cuma cara yang berlaku itu kami kesal.
“Pergerakan kami diperkotak katikan, masa kami dipermainkan, dalam kalangan kami bukan semua yang senang, visa furada haji perlu duit yang banyak, tapi saya rasa ada yang kumpul duit seumur hidup,” jelasnya lagi.
Difahamkan ada dalam kalangan jemaah tiba di Kuala Lumpur sejak 28 Jun lalu, namun penerbangan ditangguhkan atas alasan tertentu.
Tambah Marina, pasportnya dan jemaah lain masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan berkenaan.
Malah ada di antara jemaah dikatakan telah membuat laporan polis di KLIA pada Khamis berhubung kejadian itu.
“Kami reda, memang tahu dah, last flight (penerbangan terakhir) jam 2.00 pagi ini tidak mungkin kita sampai ke Jeddah dan boleh masuk, memang mustahil, setakat ini sahaja kami.
“Saya cuma nak beritahu kepada ‘Tan Sri’ itu tadi, tolong lah sedar… jangan permainkan agama, jangan perkotak katikkan perasaan orang nak pergi haji.
“Bukan senang orang nak lalui benda ini, kami faham mungkin nama kami tidak dipanggil Allah, kami reda. Tolong jangan buat macam ni, terutama kepada orang kampung yang susah payah,” tegasnya lagi.
Turut berlaku kekecohan di luar KLIA apabila salah seorang agensi pelancongan dikerumuni jemaah yang inginkan penjelasan mengenai keadaan sebenar.
Bagaimanapun, selepas beberapa minit penjelasan diberikan, individu terbabit dilihat dibawa masuk oleh Polis Bantuan KLIA.
Sumber: astroawani